Sunday, April 19, 2020

Ulasan Buku Pertama - Kompilasi Travelog 7 Benua

Assalamualaikum semua. Alhamdulilah masih diberikan peluang oleh Allah swt untuk bernafas dan melakukan amal ibadar kepada tuhan sekalian alam (rabbul 'alamin), Allah azza wajalla. Aku bersyukur kepada mu ya Allah. Lama betul aku tidak menjegah ke blog dan hampir tumpul kemahiran mengarang dan menulis. Aku berharap dapat meneruskan azam untuk sentiasa mengemaskini blog ini sebagai medium ekspresi sudut pandangku sebagai  hamba-Nya yang Esa. Dah besarang dah blog aku, kena cuci sarang dalam blog dulu ini. Hehe..gurau ja.

Entri kali ini aku akan ulas buku yang pertamaku dalam tahun 2020. Aku berazam untuk lebih banyak membaca buku pada tahun ini kerana padaku membaca adalah jambatan ilmu dan membawaku meneroka dunia tanpa perlu menghabiskan duit untuk perjalanan yang jauh. Tambahan pula hari ini adalah hari ke-33 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia, jadi semua kena kurang pergerakan dan duduk dalam rumah ja. Mengembara luar negara lagi la dilarang buat masa ini.

Alhamdulillah banyak hikmah yang berlaku di dalam PKP di mana aku dapat meluangkan masa berkualiti bersama dengan keluarga tersayang disamping dapat menyiapkan kami sekeluarga dalam menyambut kehadiran bulan yang dinantikan iaitu Ramadhan Kareem 1441H.

Kulit depan

Buku pertamaku bertajuk "Kompilasi Travelog 7 Benua Vol.1". Petua untuk memulakan minat membaca yang lama terendam ni adalah dengan membaca bacaan subjek yang kita minat dan ringan (leisure reading). Minatku untuk menjelajah pelusuk negara tercetus semasa diajak untuk menemani ibuku untuk menunaikan ibadah Umrah pada tahun 2000 sebagai hadiah keputusan SPM 1999. Walau pun keputusan tidak begitu cemerlang, tetapi ibu tetap mengotakan janjinya untutk membawaku menemaninya ke tanah suci Mekah dan Madinah. Itulah pengalaman pertamaku menaiki kapal terbang ke luar negara. Alhamdulillah aku dapat meneroka dan menimba pengalaman di negara orang yang sangat berharga bagiku.

Kemudian, aku ditempatkan di Bahagian Perhubungan Antarabangsa di sebuah Kementerian pada tahun 2007 - 2011. Alhamdulillah aku diberikan peluang untuk ke negara Thailand, India (2 kali) dan Singapura untuk menghadiri persidangan dan melancong dalam masa yang sama. Banyak perkara yang dipelajari tentang kehidupan dan budaya masyarakat negara lain yang bagiku sangat berharga. Sejak dari itu, aku menanam azam untuk terus mengembara walaupun sudah bekeluarga. Alhamdulillah impian aku diteruskan pada tahun 2017 aku dapat menunaikan haji bersama ibu, isteri, kakak dan adikku. Kemudian, aku sekeluarga bersama ibu mentuaku dapat mengembara ke Thailand pada tahu 2018. Kali ini bersama dengan anak-anakku seramai 3 orang. Suatu pengalaman yang sangat menarik. Tapi akan ku cerita pengalaman mengembara di hantaran (posting) yang lain la kalau tak panjang pulak entri kali ini.

Isi Kandungan

Autograph salah seorang penulis
Ok berbalik kepada ulasan buku ini. Buku ini aku beli semasa Pesta Buku Karangkraf di Shah Alam pada tahun 2018. Aku juga berjaya mendapatkan tandatangan salah seorang penulis buku ini semasa beli buku ini. Kalau tak silap penulis tu Meor Farid Asyradi. Aku seronok membaca kandungan buku ini yang amat bersahaja dan bahasa yang mudah difahami. Namun, macam biasa la untuk menaikkan semula minat membaca terdapat banyak cabaran yang dihadapi seperti tarikan telefon bimbit yang amat kuat dan rutin pejabat yang tidak dielakkan. Aku mengambil masa selama 30 hari iaitu sejak hari pertama PKP untuk habiskan buku setebal 210 muka surat termasuk gambar ni. Alhamdulillah berjaya juga habiskan. Seramai 8 orang penulis travelog di dalam buku ini dan masing-masing ada gaya penulisan yang tersendiri. Kesemua pengembara di dalam buku ini mengembara secara solo atau lebih dkenali sebagai backpaker.

Walaupun judul buku ni nampak gempak "7 benua", tapi cerita dalam ni tak la mengambarkan pengembaraan ke semua 7 benua tu. Buku ini hanya mengambil sisi coretan pengembara ke negara yang dilawati mereka untuk kompilasi dalam buku ni. Suatu permulaan yang baik untuk menimbulkan bibit minat mengembara pembaca yang belum pernah mengembara sebelum ini.

Cerita mengembara yang paling best aku baca ialah pengalaman Ida Yunus yang mengalami sakit gigi dan mendapat rawatan di Mongolia. Suatu pengalaman yang mencabar dan tidak dapat bayangkan macam mana jika aku ditempat beliau untuk hadapi. Namun aku yakin dengan firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud "Allah swt tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya". Insya Allah, pertolongan Allah swt akan sampai kepada hamba-Nya selagi hamba itu bergantung harap sepenuhnya kepada Allah tanpa menyekutunya. Ish jadi tazkirah pulak aku ni tapi apa-apa pun ianya baik untuk ingatan kita bersama.

Banyak pengalaman yang boleh diambil pengajaran dan panduan dalam buku ini. Aku pun berazam untuk menuliskan coretan pengalaman mengembaraku satu hari nanti dalam blog ini sebagai kenangan di hari tua jika diberikan nikmat panjang umur, Insya Allah. Ianya akan menjadi pengalaman yang amat berharga nanti. Selain itu, benda yang aku pelajari dalam buku ini juga ialah usia bukan penghalang untuk mengembara. Aku tertarik dengan coretan oleh Nordin Yahaya yang telah bergelar atuk dan berumur setengah abad. Jadi insya-Allah dimana kemahuan di situ ada "highway". Pepatah orang-orang muda sekarang ni la.

Biodata Pengembara
Akhir sekali, aku amat seronok atau enjoy membaca buku ini dan mengesyorkan bagi siapa yang berhasrat mengembara secara solo atau backpaker untuk menelaah coretan dan pengalaman dalam buku ini untuk panduan. Sehingga kita bertemu lagi dalam entri akan datang, Insya-Allah. Wassalam.

Wednesday, August 14, 2013

Tahun yang mengembirakan

Alhamdulillah kerana diberikan peluang oleh Allah untuk aku terus hidup beribadat dan beramal soleh pada hari ini. Tahun 2013 amat memberikan makna dan kegembiraan kepada aku kerana:

1. Tanggal 1.1.2013, aku telah ditukarkan ke tempat kerja baru yang memberikan aku peluang untuk belajar segala aspek pentadbiran dan kewangan dalam perkhidmatan awam. Ini adalah pengalaman yang amat bermakna pada aku kerana ini adalah peluang untuk aku memulakan perjalanan yang lebih jauh dalam perkhidmatan awam.

2. Tanggal 3.4.2013, Allah telah mengurniakan aku seorang cahaya mata yang telah ku nantikan selama lebih 4 tahun. Setelah pelbagai cabaran dan ujian yang dihadapi serta berkat doa kepada Allah s.w.t. yang tidak pernah menghampakan hamba-hamba Nya, seorang puteri telah dilahirkan bagi menyerikan lagi kehidupan rumah tangga kami. Syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Alllah s.w.t. di atas limpah kurnia-Nya.

3. Tahun ini juga aku diberikan rezeki oleh Allah untuk membeli sebuah rumah idaman di Bandaraya Alor Setar. Walaupun ini rumah kedua aku beli, namun ia merupakan rumah yang ber'tanah' pertama yang aku beli. Hasratku untuk membeli sebidang tanah dan dibinakan rumah mengikut citarasa sendiri. Namun apakan daya kerana harga tanah amat tinggi dan kos untuk membina rumah turut meningkat. Lebih baik membeli rumah taman yang sudah siap daripada melalui proses yang amat rumit membina rumah sendiri.

Itulah 3 perkara utama yang membuatkan tahun 2013 amat menggembirakan di samping perkara lain yang turut membuatkan kehidupan aku sebagai hamba Allah di muka bumi lebih bermakna. Berjumpa lagi di lain entry...

Wednesday, May 23, 2012

Pengalaman di tempat kerja baru

Tanggal 1 Disember 2011, aku telah mendaftar diri di Jabatan Pengangkutan Jalan, Negeri Kedah. Ini adalah posting kali kedua aku sejak dilantik ke perkhidamatan awam. Suasana bekerja di sini amat berbeza sekali dengan tempat aku yang dulu memandangkan kali ini aku terlibat dengan kaunter perkhidmatan kepada orang ramai. Setakat hari ini aku telah berkhidmat lebih kurang 6 bulan di Jabatan ini.

2. Kerja aku dahulu hanya berurusan dengan pegawai Kementerian/Jabatan kerajaan dan mesyuarat peringkat kementerian serta antarabangsa. Namun, cabaran ini aku anggap sebagai pengalaman yang aku perlu tempuh bagi mematangkan diri aku dalam kehidupan di dunia yang sementara. Ia juga sebagai wadah atau platform untuk aku menabur bakti dan membantu orang ramai dalam memudahkan urusan seharian mereka.

3. Sebenarnya jauh di dalam lubuk kecil hatiku ini amat merindui semula kehidupan dan suasana kerja aku terdahulu namun aku tidak boleh terlalu selesa dengan suasana tersebut kerana ia tidak akan membantu aku dalam kehidupan ini. Hidup ini sentiasa berubah dan bergerak dengan pantas. Aku perlu bergerak seiring dengan kepantasan masa berjalan.

4. Namun selaku Hamba Allah yang kerdil, tiada ada yang dapat menghalang perjalanan hidup ini melainkan dengan kekuasaan Allah azza wa jalla dan aku mampu menadah tangan memohon agar dipermudahkan segala urusan aku didunia. Amin ya rabbal 'alamin.

Monday, March 1, 2010

Melangkah ke dunia blogger...

Hari ini aku telah membuka satu lembaran baru di dalam hidup aku. Aku berazam untuk mula berjinak-jinak dengan dunia blog seiring dengan perkembangan dunia IT zaman sekarang. Selama ini aku hanya mengikuti tulisan di blog-blog yang hits orang lain namun aku tertanya-tanya bilakah aku boleh menjadi seperti mereka.

Hari ini, tanggal 1/3/2010, aku bertekad untuk memulakan langkah pertama dengan mengenali dunia blog ini. Tak kenal maka tak cinta. "Selamat datang ke dunia blogger!!" aku berkata kepada diriku sendiri. Aku berharap dapat menimba banyak pengalaman dan membuka pandangan baru aku terhadap dunia IT yang serba canggih dan moden ini.